Wednesday, December 17, 2008

Empat Lagi Rangka Prasejarah Ditemui...



Informasi terkini tentang perkembangan kajian arkeologi di Malaysia...


Empat Lagi Rangka Prasejarah Ditemui

FRIDAY, 11 APRIL 2008 09:34 BHARIAN.COM.MY

Penemuan dihantar ke UKM bagi ujian DNA

KUALA LUMPUR: Empat lagi rangka manusia prasejarah ditemui di

tapak arkeologi Pulau Kelumpang, Kuala Gula, dekat Taiping, Perak

menjadikan jumlah keseluruhan kepada lima rangka sejak kerja cari

gali dimulakan Mei lalu.

Tiga daripada rangka terbaru itu ditemui di petak bersebelahan di

kawasan ditandakan sebagai Pulau Kelumpang I (PKI) manakala satu

lagi ditemui di kawasan PKII, kira-kira 30 meter dari situ.

Ketua projek merangkap Timbalan Pengarah Institut Alam dan

Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof

Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, berkata semua

rangka itu ditemui pada lapisan berbeza menunjukkan ia ditanam

pada tempoh berlainan.


Katanya, berdasarkan kajian awal, semua rangka itu dipercayai

manusia dewasa dan rangka di lapisan paling bawah dikatakan

terletak pada lapisan berhampiran punca mata air.

"Rangka manusia di lapisan paling bawah agak unik dan berbeza

dengan yang lain kerana kedudukan tangannya dalam keadaan

bersilang di dada berbanding rangka lain dan kedudukan tangannya

lurus serta selari dengan tulang kaki.


"Kami mengeluarkan dua rangka dan dihantar ke UKM untuk ujian

Asid Deoksiribonukleik (DNA). Tiga lagi rangka yang belum dikorek

sepenuhnya akan dihantar ke makmal di Universiti Sains Malaysia

(USM), Pulau Pinang," katanya. Melalui pendekatan baru mengagihkan kajian ke makmal berlainan mampu membantu penyelidik mendapat keputusan lebih cepat untuk

menentukan jantina, usia serta punca kematian masyarakat yang

tinggal di pulau berkenaan.

Kajian arkeologi itu dijalankan oleh Dr Nik Hassan bersama

penyelidik bersama iaitu bekas Ketua Pengarah Muzium Negara,

Datuk Dr Adi Taha dengan dibantu pelajar peringkat Ijazah

Kedoktoran, Jamilah Taib dan dijangka selesai pertengahan bulan

ini.

Mereka dibantu pakar DNA UKM, iaitu Pensyarah Kanan, Pusat

Pengajian Bio sains dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Dr

Shahrul Hisham Zainal Ariffin dan Prof Madya Dr Sahidan Senafi

serta pakar Pergigian dan Ortodontik UKM, Dr Rohaya Megat Abdul

Wahab.

Dr Nik Hassan berkata, rangka manusia yang ditemui di PKII lebih

kecil berbanding rangka lain dan ditemui pada lapisan atas, iaitu

antara 10 hingga 20 sentimeter daripada permukaan tanah.

"Berdasarkan kajian awal di situ, penyelidik pernah menemui rangka

manusia diletakkan di dalam perahu di lapisan tanah paling bawah.

Tetapi setakat ini, semua rangka yang kita temui berada dalam

kedudukan normal bersama beberapa barang lain.

"Semua rangka yang ditemui adalah lengkap, cuma satu rangka di

PKII belum dikorek sepenuhnya kerana kepala serta badannya

terletak di bawah rimbunan pokok buluh," katanya.

Kajian ke atas penempatan manusia prasejarah di situ juga bertujuan

mengesan ke mana menghilangnya penduduk di situ sama ada sudah

pupus atau berpindah ke kawasan berdekatan atau mempunyai

kaitan dengan penduduk tempatan sekitar Kuala Gula.

Tapak penempatan itu dianggarkan berusia 1,200 tahun bermula 200

tahun Sebelum Masihi dan ini bermakna sehingga sekarang, ia

dianggar mencecah 2,000 tahun.

Sumber: bharian.com.my

MAKLUMAN TERBARU AKAN DISAMPAIKAN KEMUDIAN…

No comments: