Wednesday, December 17, 2008

Siapakah Aku Tanpa Guru???



Salam… Kebelakangan ini, tanpa kita sedari seringkali digembar-gemburkan berita berkaitan dengan kedudukan dan pengaruh guru pada insan sejagat. Tiba-tiba saja, timbul isu guru mula dipandang rendah dalam kalangan golongan pekerjaan professional. Hal ini secara halus telah menjatuhkan dan merendahkan kredibiliti seorang guru yang selama ini berusaha mencanai minda yang bermodal intelek. Namun, persoalannya mengapa isu ini harus timbul. Dan timbul juga persoalan, adakah memang benar guru semakin tidak bernilai?

Ingin sekali saya jelaskan di sini, sememangnya guru adalah individu yang benar-benar berpengaruh dan sangat memberi kesan kepada perkembangan diri seorang insan. Meskipun guru hanya berperanan mengajar, mendidik dan membimbing pelajar hanya beberapa tahun, tapi insan suci ini tetap turut penting. Siapalah kita pada hari ini, tanpa seorang guru yang sudi mengajar kita huruf A hingga Z? Dan siapalah kita pada hari ini, tanpa kehadiran guru yang sedia memberikan tunjuk ajar pada kita, mencari jalan penyelesaian, memberi nasihat? Tidak saya nafikan, ada juga suara-suara ’nyaring’ yang mengatakan ”jika tiada guru pun, kita tetap jadi manusia jugak”... Ya, benar. Tidak pula mahu nafikannya... Namun, harus diingat jadi manusia saja belum tentu berguna, bermanfaat. Kerana apa? Kerana individu yang kononnya mengaku diri dia sebagai ’manusia’ belum tentu berakal sempurna. Semua manusia berakal, tapi yang membezakan diri setiap manusia ialah akal yang mengikut tabii yang betul. Jadi, sudah semestinya jika kita mahukan akal dan jiwa kita dibentuk, diasuh dengan betul perlulah kepada adanya pembimbing, dan pengajar.

Kalau kita pada hari ini, mahu berlagak sombong, di atas segala apa yang telah anda miliki, itu saya kira sebagai satu perkara yang sia-sia. Jika anda bangga dengan kerjaya anda sekarang, tidak kisahlah sebagai apapun sama ada sebagai peguam, doktor, mahupun CEO Syarikat gergasi, namun sedarkah anda siapakah diri anda jika tanpa guru-guru anda? Seharusnya, kita sentiasa berterima kasih dan bersyukur pada Allah SWT, kerana mengurniakan kita dengan guru-guru yang pengasih. Jadi, ambillah masa, mungkin hanya beberapa saat untuk ucapkan kalimah keramat pada guru-guru anda, yakni ’Terima Kasih Cikgu”...

No comments: